Dinsdag 08 Januarie 2013

Kari Masak Merah Daging Cincang (Utara)

Kalau nak buat kari daging, Kak Noor lebih suka beli daging cincang sebab ada isi dan lemak tetel. Kuahnya pula mestilah pekat dan dicampur dengan ubi kentang.  Ubi kentang pula dipotong besar; satu biji dibelah dua saja.  Ada juga orang masak tak buang kulit ubi kentang.  Rasanya lebih sedap dan lebih berkhasiat.  Tapi kenalah rajin bersihkan kulit ubi kentang itu dahulu.   

Kari ini adalah resepi orang Utara kerana sejak dahulu lagi resepi inilah yang dimasak oleh bonda Kak Noor. Memanglah banyak bahan-bahan yang digunakan, tetapi hasilnya amat berbaloi.   Tapi resepi ini Kak Noor namakan Kari Masak Merah Daging Cincang sempena mengambil nama serbuk kari yang Kak Noor gunakan iaitu Serbuk Kari Masak Merah Cap O.  Rempah ini memang sedap kalau digunakan untuk masakan kari daging atau kari ayam.  Kuahnya agak merah sedikit jika dibandingkan dengan rempah kari biasa yang agak kekuningan.

Kalau nak tahu sedap ke tidak kari daging ini, jam 11.30 malam anak-anak dan hubby Kak Noor boleh makan nasi lagi bila terbau kari ini.   Kak Noor ingat nak masak siap-siap sebelah malam dan keesokan paginya cuma panaskan sahaja untuk hidangan tengah hari.  Tak payahlah Kak Noor bergegas pada waktu pagi untuk memasak sebelum pergi kerja.  Anak-anak Kak Noor pun pandai, kalau masakan tak kena selera mereka, sentuh nasi pun tak nak.  


Bahan-bahannya:
1 kilo daging cincang
200 ml santan pekat
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
1 biji bawang besar - dipotong 4
1 biji buah tomato - dipotong 4
3 keping asam gelugor (asam keping)
Gula / garam / perasa
Air secukupnya
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan A: Untuk pes rempah (disatu dan diblender):
45 gram serbuk kari masak merah Cap O
1/2 sudu besar jintan manis
Serbuk Kari Masak Merah Cap O
1/2 sudu besar jintan putih
1 biji bawang besar dibelah empat - supaya mudah dikisar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya untuk mengisar


Bahan-bahan B: Untuk tumis
1 biji bawang besar - dihiris halujs
3 ulas bawang putih - dihiris halus
2 inci halia - dihiris halus
3 tangkai daun kari - dibuang tangkainya
1 inci kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Penyediaannya:
  1. Daging dicuci bersih dan ditoskan. Satukan daging dengan bahan-bahan A yang telah dikisar bersama 2 sudu besar gula.  Perapkan sekurang-kurangnya 1 jam supaya pes rempah menyerap dalam daging.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan-bahan B sehingga bawang kekuningan dan terbit bau.
  3. Masukkan daging yang telah diperap tadi di dalamperiuk dan kacau sehingga sebati.  Masukkan lagi 2 cawan air di dalam periuk.  Tutup periuk dan masak sehingga daging empuk.  Sekiranya air telah kering dan daging masih tidak empuk, tambahkan air dan masak lagi sehingga daging empuk.
  4. Setelah daging empuk, masukkan ubi kentang.  Kacau rata dan biarkan ubi kentang 1/2 masak.
  5. Kemudian baru dimasukkan santan pekat bersama 1/2 cawan air.
  6. Campurkan garam, perasa (jika suka), dan asam keping.  Kacau rata.
  7. Biarkan masakan ini di atas api sederhana sehingga mendidih dan ubi empuk. 
  8. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong 4, cili merah, cili hijau, buah tomato. 
  9. Sedia untuk dihidangkan.



Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Kari Masak Merah Daging Cincang (Utara)

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking