Saterdag 26 Januarie 2013

Sambal Tumis Udang Dengan Terung Kecil

Resepi yang ingin Kak Noor ketengahkan kali ini adalah masakan yang tidak pernah Kak Noor masak  iaitu sambal udang dengan terung kecil. Kak Noor sendiri pun tak tahu apa nama terung ini sebenarnya.  Kalau terung pipit itu tahulah. First time in my life masak hidangan ini.  Masa di pejabat tempoh hari, ada rakan sepejabat yang makan terung kecil ini dengan sambal belacan.  Katanya terung kecil  ini orang buat ulam, cicah dengan sambal belacan dan makan dengan nasi panas-panas.  Kak Noor memang sejak kecil lagi tidak pernah makan terung kecil ini, apa lagi menjadikannya sebagai bahan masakan.  Kak Noor cuba makan sebiji begitu sahaja tanpa dicicah sambal.  Hm.... memang sedap, rangup dan rasa manis.



Hari itu semasa pergi pasar ternampaklah terung kecil ini.  Terus beli, ingat nak jadikan ulam untuk hubby.  Tetapi disebabkan beberapa hari ini hubby tidak berselera makan kerana selesema, maka terung kecil itu tersimpan dalam peti sejuk saja.  Hari ini timbul idea nak masak sambal tumis udang letak terung kecil .  Kak Noor rasa kalau kita boleh cicah terung kecil dengan sambal, sudah tentu kita boleh masaknya dengan sambal.

Terung kecil, sedap dimakan begitu sahaja dan dibuat ulam.
Bahan-bahannya:
1/2 kilo udang saiz sederhana
1 biji buah tomato - dipotong kiub
2 keping asam gelugor (asam keping)
2 sudu besar gula perang
Gula putih dan garam secukupnya
Terung kecil - Kuantiti ikut citarasa
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1 cawan air
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk cili kering kisar
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih

Cara-cara memasak:
  1. Panaskan minyak.  Tumis bahan-bahan kisar sehingga naik bau dan terbit minyak.
  2. Seterusnya masukkan 1 cawan air, diikuti dengan buah tomato yang dipotong kiub. Biarkan kuah mendidih seketika.
  3. Kemudian masukkan gula, garam, dan asam gelugor.  Kacau rata.
  4. Masukkan udang dan biarkan di atas api sehingga udang masak.
  5. Akhir sekali masukkan bawang besar yang telah dihiris bulat dan terung kecil.
  6. Biarkan beberapa minit di atas dapur kemudian tutup api.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Sambal Tumis Udang Dengan Terung Kecil

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking