Sondag 10 Maart 2013

Daging Masak Kicap Berempah

Hari ini untuk sajian tengah hari Kak Noor masak ringkas sahaja.  Nak masak beraneka jenis, takut tak habis pula dan membuang sahaja.  Masing-masing tak berselera sangat nak makan nasi sebab rasa nak demam tak demam.  Tekak rasa pedih, mata rasa pedih dan mulut pun rasa pahit.  Mungkin musim demam sekarang ini.

Tengok di dalam peti ais ada daging.  Dalam mood kurang selera ini, masakan kenalah pedas sikit. Timbul idea nak masak kicap berempah campur dengan ubi kentang.  Sedap juga kalau makan dengan nasi panas.  Cukup satu jenis lauk sahaja.




Bahan-bahannya:
1/2 kilo daging batang pinang, hiris nipis, basuh dengan tepung dan cuka, kemudian toskan.
Minyak secukupnya untuk menumis
2 - 3 biji ubi kentang - dipotong wedges
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
2 biji bawang besar - dihiris bulat
1/2 biji cili benggala - dihiris
1/2 sudu teh jus lemon

Bahan-bahan A: (Pes Perapan Daging)
*2 sudu besar serbuk rempah lima beradik (5 spices) - Boleh didapati di pasar raya
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos lada hitam
Kicap manis secukup rasa
1 sudu besar gula




Bahan-bahan B (Tumisan):
Beberapa helai daun kari
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 inci halia - dihiris

Cara-cara memasak:
  1. Perap daging dengan bahan A selama lebih kurang 1 jam.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan-bahan B sehingga naik bau.  Kemudian masukkan daging yang telah diperap.  Kacau rata dan masukkan air secukupnya.  Masak sehingga daging empuk.  Sekiranya air kering dan daging masih tidak empuk, bolehlah ditambahkan air lagi dan masak sehingga daging betul-betul empuk.
  3. Selepas daging empuk, masukkan ubi kentang.  Sekiranya air kering, tambahkan air lagi dan masak ubi kentang sehingga empuk.
  4. Rasa kuahnya, perasakan dengan garam dan gula.  Masukkan bawang besar yang dihiris bulat, cili benggala dan jus lemon.  Kacau rata dan biarkan ia mereneh di atas dapur beberaap minit sehingga bawang besar sedikit layu.
  5. Tutup api dan bolehlah dihidangkan dengan nasi panas.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Daging Masak Kicap Berempah

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking