Saterdag 30 Maart 2013

Mee Goreng Basah



Aha... mesti terliurkan bila tengok udang dan sotong di dalam mee goreng ini kan!   Inilah sarapan pagi keluarga Kak Noor hari ini.  Bila goreng mee, kebiasaannya Kak Noor goreng basah dan taugeh mesti banyak. Memang sedap dimakan sejurus lepas masak.  Jangan tunggu lama-lama sampai sejuk, nanti mee kembang.





Bahan-bahannya:
2 bungkus mee kuning
RM1.00 taugeh segar
10 ekor udang saiz sederhana
2 ekor sotong - dipotong bulat
1 senduk cili kering kisar
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dititik
1 sudu teh cuka
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
2 cawan air
Gula/serbuk perasa/garam secukup rasa
Minyak secukupnya
Hiasan:  Daun salad dan cili merah dihiris halus, bawang goreng


Penyediaannya:
1. Basuh mee kuning dengan air dan toskan.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Kemudian tumiskan bawang putih dan bawang merah. Apabila telah naik bau, masukkan cili kering kisar. Kacau seketika sehingga terbit minyak.
3. Selepas itu masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato, kicap manis, cuka,  garam, gula, dan perasa. Kacau biar sekata. Masukkan air, udang, dan sotong. Biarkan kuah menggelegak. Rasa cukup semua bahan perasa.
4. Masukkan mee dan digaul sebati. Balik-balikkan sekejap. Kecilkan api dan biarkan selama 3 - 4 minit atas dapur Apabila semua perasa telah meresap dalam mee, masukkan taugeh dan gaul sekata. Tutup api.
5. Alihkan mee daripada kuali supaya air tidak kering. Taburkan daun salad, cili merah, dan  bawang goreng. Mee goreng basah ini sedap dihidangkan ketika masih panas dan jika suka boleh dimakan bersama cili jeruk.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Mee Goreng Basah

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking