Sondag 10 Maart 2013

Pajeri Nanas Berempah (Santan Sawit KHALIS)


Emm... sedapnya nanas tu...  terasa kemanisannya walaupun sekadar gambar hiasan.   Sedap jika dimakan begitu sahaja, dicicah dengan kicap ataupun dibuat pajeri nanas. Itulah nanas Sarawak.  Walaupun harganya agak mahal sedikit, tetapi berbaloi kalau kita gunakan ia untuk masakan pajeri nanas. Bila masuk ke mulut, terasa keseimbangan rempah dan manisnya.  






Kalau zaman Kak Noor kecil-kecil dulu, pajeri nanas berempah ini adalah salah satu menu wajib dalam masakan kenduri kahwin di Utara. Tapi tukang masak taklah guna nanas Sarawak, nanas biasa aje... Menu sampingan lain yang sering digandingkan ialah kurma daging, ayam masak merah, kari daging, dan dalca. Semua menu ini dimasak di dalam periuk kawah. Sedapkan! Lauk senantiasa panas sehingga ke malam hari kerana terdapat bara api yang memanaskan periuk kawah ini. Dihidangkan pula dengan nasi minyak. Wau! memang sedap sehingga menjilat jari. Cara hidangannya pula bukan bufe seperti sekarang ini, tetapi cara hidangan; satu meja empat orang. Kebiasaannya bila tetamu tiba, mereka akan disambut oleh mentara kenduri, dan bila tetamu telah cukup empat orang, mereka akan dibawa ke meja makan. Tetamu tidak perlu lagi meninjau-ninjau tempat duduk seperti sekarang ini di mana hidangan bufe telah menjadi trend di mana-mana sahaja kenduri perkahwinan. Kasihan Kak Noor kepada tetamu-tetamu yang hadir (termasuklah Kak Noor), iaitu apabila kes orang ramai, tetamu terpaksa tunggu sehingga tempat kosong. Itu tidak termasuk lagi kes tetamu hendak tambah nasi, apabila pergi tambah nasi dan lauk, bila balik ke tempatnya, orang lain dah duduk. Macam mana tu? Insya Allah, kalau kenduri anak Kak Noor nanti, nak guna cara hidang aje.






Sebenarnya tadi Kak Noor tidak mahu story panjang-panjang. Tetapi bila bab masak pajeri nanas ini teringat nostalgia zaman dulu. Tak dapat nak pendam lagi. Nak juga kongsi dengan pembaca-pembaca sekalian.

Ok jom kita tengok resepinya.

Bahan-bahan A:
1 biji nanas Sarawak, dipotong bulat atau separa bulat
1 cawan santan sawit Khalis (boleh juga guna santan kelapa)
Kerisek secukupnya
2 sudu besar gula perang
2 biji cili hijau
Gula putih dan garam secukup rasa
Serbuk perasa (opsyen)

Bahan-bahan B (disatukan di dalam blender dan dikisar)
4 sudu besar rempah daging
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya

Bahan-bahan C (ditumis):
3 biji bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris
1 tangkai daun kari
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 sudu besar udang kering

Cara-cara memasaknya:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan C sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
2. Masukkan bahan-bahan C dan kacau rata. Sekiranya rempah agak pekat, boleh tambah sedikit air. Tudung periuk dan masak sehingga rempah terbit minyak (kaedah tudung periuk digunakan supaya rempah lebih cepat masak dan terbit minyak)
3. Selepas itu, masukkan santan sawit dan kacau mesra. Sekiranya mahukan kuah lebih, boleh tambah sedikit air. Masak sehingga kuah mendidih.
4. Kemudian masukkan gula perang, gula putih, garam, serbuk perasa, dan kerisek. Kacau lagi sehingga semua bahan perasa yang dimasukkan larut sebati di dalam kuah. Rasa kuahnya. Kuah pajeri selain rasa rempahnya, mestilah ada rasa kemanisannya.
5. Setelah cukup rasa, bolehlah dimasukkan nanas Sarawak tadi dan kacau sehingga mesra dengan rempah. Perlahankan api, dan biar ia mereneh di atas dapur antara 10 – 15 minit.
6.   Sebelum ditutup api, masukkan cili hijau.  Tudung periuk.  Bila nak hidangkan, baru buka.  Wangi sangat….

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Pajeri Nanas Berempah (Santan Sawit KHALIS)

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking