Donderdag 28 Maart 2013

SAMBAL TUMIS KERANG



Kerang lagi!! Hai…sejak-sejak akhir ini Kak Noor berminat dengan masakan kerang pulak. Sebenarnya Kak Noor ni peminat nombor satu sambal tumis kerang. Kalau makan dengan nasi putih, lebih-lebih lagi dengan nasi lemak, terkelu lidah untuk berkata-kata. Mestilah lidah kelu, sebab tengah menyuap kan… 

Ingat tak zaman kanak-kanak dulu semasa ibu kita meminta tolong kita mengopek kerang. Boleh kata separuh masuk ke mulut dan tinggal separuh lagi untuk dimasak. Kak Noor rasa semua orang pernah mengalami saat-saat indah mengopek kerang ini.





Nak masak sambal kerang ni perlu bersusah-susah dulu, berenak-enak kemudian. Apa taknya, banyak proses yang perlu dilakukan sebelum kerang dapat disajikan sebagai satu masakan yang enak. Kerang perlu dibersihkan dulu sehingga kulit kerang nampak putih. Kemudian direbus (setengah orang suka rebus setengah masak, tetapi Kak Noor rebus sehingga masak). Selepas itu kerang dikopek untuk mengeluarkan isinya. Kalau saiz kerang besar, senanglah dikopek, laju aje….. Tetapi kalau saiz kerang kecil, berpeluh juga mengopeknya. Tangan pula akan terasa kegatalannya disebabkan air rebusan kerang. Mulalah nak menggaru.  Last-last sekali sampai satu lengan gatal.  `Masalah-masalah’ beginilah yang memendamkan hasrat Kak Noor untuk memasak kerang, walaupun masakan ini adalah favourite Kak Noor.  

Tetapi sekarang bila dah boleh dapat isi kerang rebus secara`instant’, maka rajinlah sedikit untuk Kak Noor memasak sajian ini. Dalam N3 terdahulu, Kak Noor ada muatkan resepi rendang pedas kerang. Cubalah memasaknya mengikut resepi. Hari ini N3 Kak Noor ialah masakan sambal tumis kerang. Tips untuk menjadikan sambal tumis kerang ini sedap ialah menggunakan bawang besar yang banyak. Rasa sambalnya pula mestilah menepati citarasa iaitu cukup rasa manisnya, masinnya, pedasnya, dan lemaknya. Bagi membangkitkan rasa seimbang manis dan lemak dalam masakan ini, Kak Noor gunakan gula perang. Sambal akan rasa lebih sedap sekiranya kita gunakan gula perang dicampur dengan gula putih dalam masakan.   


Bahan-bahannya:
600 gram isi kerang rebus
2 biji bawang besar – dihiris bulat
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar pati asam jawa
2 helai daun limau purut – dicarikkan
2 sudu besar gula perang
Gula putih secukupnya (sebagai tambahan kepada gula perang)
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk nasi cili kering kisar
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci panjang kunyit hidup
2 batang serai
1 inci halia
1 inci belacan

Cara-cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumiskan bahan-bahan kisar sehingga garing dan naik bau.
2. Masukkan sedikit air, pati asam jawa, gula perang, gula putih dan garam. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
3. Kemudian masukkan kerang diikuti dengan bawang besar dan daun limau purut. Kacau sebati dan perlahankan api. Biarkan ia mereneh di atas dapur sehingga kuah menjadi sedikit pekat dan bersalut dengan kerang. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : SAMBAL TUMIS KERANG

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking