Sondag 14 April 2013

Kacang Buncis Leper Goreng Kunyit



Terdapat pelbagai resepi masakan menggunakan kacang buncis; seperti kacang buncis masak lemak kuning dengan udang, kacang masak lemak putih dengan soun, dan yang paling kerap dimasak ialah kacang buncis goreng.  Pelbagai bahan tambahan digunakan untuk mengenakkan lagi masakan kacang buncis goreng ini.  Ada yang menggunakan perencah daging, udang, ikan bilis, sotong dan juga tambahan sayur-sayuran seperti lobak merah dan kobis. 

Kacang buncis yang Kak Noor beli di pasar raya tempoh hari bentuknya leper.  First time jumpa kacang buncis leper ini.  Bila dah masak, rasanya sama juga dengan kacang buncis biasa.  Tetapi Kak Noor tak tahulah mungkin ada nama lain bagi sayuran ini.  Untuk resepi ini Kak Noor tak guna banyak bahan tambahan, hanya campurkan sotong dan sayur cendawan sahaja. 




Bahan-bahannya:
300 gram kacang buncis leper
2 ekor sotong besar - dipotong bulat
Sedikit cendawan tiram warna putih
Daun sup/daun bawang
1/2 biji tomato - dipotong wedges
1 biji bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 biji cili merah
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 sudu teh serbuk lada putih
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:
1.  Panaskan dua sudu besar minyak di dalam kuali.  Tumiskan bawang merah, bawang putih, dan cili merah sehingga naik bau dan sedikit kekuningan.
2.  Masukkan sotong dan biarkan di atas dapur sehingga sotong masak.
3.  Kemudian baru masukkan kacang buncis diiikuti dengan cendawan.  Perasakan dengan garam, gula, serbuk lada hitam, serbuk lada putih dan serbuk kunyit.  Kacau supaya semua bahan mesra. 
4.  Akhir sekali masukkan tomato, dan daun sup/daun bawang. Kacau lagi dan tutup api bila sayur buncis telah masak.  Jangan sampai sayur-sayuran layu.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Kacang Buncis Leper Goreng Kunyit

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking