Donderdag 02 Mei 2013

KARI NANGKA MUDA DENGAN UDANG (TUMIS DARAT)



Hari ini Kak Noor cuti. Pada masa yang sama hubby pun off hari ni. So… bolehlah `berpacaran’ dengan hubby hari. Selepas `date’ sarapan pagi, terus dengan urusan yang yang hendak dilakukan. Sewaktu pulang, sempat singgah di pasar tani Setiawangsa dan tengok apa-apa yang berkenan. Sempatlah beli sehelai anak tudung putih dan tudung putih untuk anak bongsu Kak Noor untuk ke sekolah.

Biasalah kalau kat pasar tani, banyak ulam-ulaman kampong dan sayur-sayuran kampong yang mungkin tidak boleh didapati di pasar raya. Semuanya segar-segar belaka. Sempat Kak Noor beli nangka muda yang telah dibungkus siap. Harganya RM1.50 sebungkus. Ingat nak ambil beberapa bungkus, tetapi bila mengenangkan tak ramai orang kat rumah, siapa pula nak makan. Membazir pulak nanti….



Jarang sekali Kak Noor masak nangka muda ini. Hanya bila teringin sahaja dan apabila dah jemu dengan lauk ikan, daging, dan ayam. Memandangkan di dalam peti ais tu ada udang sahaja, maka Kak Noor masak kari nangka muda dengan udang sahaja. Kalau orang Utara tak panggil kari. Dia orang panggil gulai. Tapi kalau luar dari Utara, gulai ni adalah masak lemak. So… supaya tidak keliru, lebih baik gunakan perkataan standard iaitu kari. Kalau masak dengan ikan kering masin lagi sedap. Tak pe lah… itu yang ada. Lain kali kita letak ikan masin pulak.

Kari nangka muda ini Kak Noor masak cara tumis darat. Cara masak tumis darat ini memang terkenal di kalangan orang-orang Utara. Orang Utara panggil tumis darat sebab bila kari dah masak, baru dimasukkan bahan-bahan yang telah ditumis garing bersekali dengan minyak yang digoreng tadi.

Jom kita tengok resepinya cara Kak Noor.

Bahan-bahannya:1 bungkus nangka muda - Kak Noor beli di pasar tani, siap dibungkus
300 gm udang sederhana besar
1 cawan pati santan kelapa sawit (campur dengan 2 cawan air)
2 keping asam gelugor
Garam/gula/serbuk perasa

Bahan-bahan A: (untuk diblend)3 sudu besar rempah kari udang
1 senduk nasi cili kering kisar
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan-bahan B: (tumis darat @ atas)3 biji bawang merah – dimayang
3 ulas bawang putih – dimayang
1 inci halia - dimayang
1 sudu besar jintan manis
Daun kari
Minyak secukupnya

Caranya:1. Bersihkan nangka. Rebus sekejap nangka, jangan terlalu empuk, cuma nak buang getahnya sahaja. Toskan.
2. Di dalam periuk, masukkan nangka yang telah direbus, bahan-bahan yang dikisar, dan 1 cawan air. Masak sehingga rempah mendidih dan nangka empuk.
3. Selepas itu masukkan santan dan kacau biar semua sebati. Bila telah mendidih masukkan udang, garam, gula, dan serbuk perasa. Tambahkan air sekiranya kuah terlalu pekat. Bila udang telah masak, masukkan cili hijau/cili merah dan buah tomato. Tutup api.
4. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan B hingga kekuningan dan wangi. Kemudian masukkan semua sekali dengan minyak ke dalam kuah kari nangka tadi. Tutup periuk cepat supaya aromanya tidak keluar.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : KARI NANGKA MUDA DENGAN UDANG (TUMIS DARAT)

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking