Donderdag 14 November 2013

Bihun Goreng Bonda

Sajian bihun ini agak ringkas, sekadar untuk sarapan keluarga. Biasalah pagi-pagi ni sibuk mengejar masa, nak siap sarapan pagi, nak siapkan anak pergi sekolah dan siapkan diri sendiri pergi kerja. Apa yang pasti, ada sarapan yang disajikan untuk keluarga sebelum Kak Noor melangkah keluar pergi kerja. Tak sempat nak hiaskan cantik-cantik macam dalam pertandingan masakan. Apa yang penting cukup citarasanya.

Bahan bahannya:
Sebungkus bihun, direndam seketika
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih diketuk
Kobis dipotong lebar
Beberapa helai daun salad dipotong
Udang
Cili kering yang telah dikisar ~ sukatan ikut citarasa kepedasan
1 biji tomato dipotong saiz kiub
1 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
2 sudu kicap manis
1 sudu teh cuka
2 cawan air
Perasa Tumix Ayam atau boleh guna perasa lain
3 sudu besar gula
Sedikit minyak

Penyediaannya:
1. Panaskan kuali. Masukkan minyak. Bila minyak telah panas, tumis hirisan bawang besar dan bawang putih. Apabila telah naik bau dan bawang besar agak layu, masukkan cili kering. Kacau dan tunggu sehingga cili garing atau terbit minyak.
2. Setelah terbit minyak, masukkan buah tomato, sos cili, sos tomato, sos tiram, cuka, kicap, perasa, garam, gula, dan air. Kacau rata dan biarkan ia mendidih seketika. Rasa garam dan gulanya. Pastikan kuah mencukupi untuk menggoreng bihun supaya bihun tidak terlampau kering setelah masak. Sekiranya kuah agak pekat, masukkan air lagi. Jangan tambah air setelah bihun dikaupbalikkan dalam kuali atau setelah bihun masak.
3. Setelah kuah mendidih, masukkan udang.
4. Bila udang telah masak, masukkan *kobis dan kacau 1/2 minit.
5. Kemudian masukkan bihun dan kaup balikkan supaya kuah dan rencah di dalam kuali bercampur rata. Setelah bihun masak, masukkan salad dan kacau 1/2 minit. Tutup api.
6. Semasa menghidang, boleh ditaburkan bawang goreng dan cili merah.

* Sekiranya menggunakan taugeh, bihun dimasukkan dahulu. Setelah bihun masak, baharu dimasukkan taugeh. Kaup balikkan sekejap dan jangan sampai taugeh layu.



Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Bihun Goreng Bonda

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking