Vrydag 06 Desember 2013

Serawa Pisang



Agak lama Kak Noor tak masak serawa pisang ini. Masa kecil-kecil dulu nenda Kak Noor selalu masak serawa pisang ini. Masa yang paling sesuai untuk menghidangkan sajian ini ialah pada waktu petang; sekitar jam 4.30 petang. Ingat lagi Kak Noor di zaman kanak-kanak bersama nenda tercinta. Bangun saja dari tidur (tidur selepas makan tengah hari sebab kenyang), sajian serawa telah ada di atas meja bersama teh o. Hai… memang sedap sehingga menjilat jari. Lebih-lebih lagi nenda yang masakkan.

Hidangan ini memang mudah dan cepat disediakan; apa yang penting bahan-bahan yang diperlukan telah sedia ada.


Anak Kak Noor yang bongsu amat suka serawa pisang ni. Tapi dia lebih suka hirup kuahnya daripada makan pisang. Serawa pisang ini menggunakan santan kelapa sawit Khalis. Satu kelebihan santan kelapa sawit Khalis ini ialah ia tidak pecah minyak walaupun kita masak dengan api yang panas ataupun meninggalkannya tanpa dikacau. Kalau kita guna santan kelapa, kita mesti kacau selalu dan memastikan santan tidak boleh terlalu mengelegak supaya tidak pecah minyak. Terpulanglah kepada citarasa masing-masing sama ada nak gunakan santan kelapa atau santan kelapa sawit.




Gula yang digunakan untuk masakan serawa ini ialah gula putih. Sebenarnya Kak Noor lebih suka campur gula putih dan gula perang seperti resepi nenda. Tetapi anak Kak Noor tak gemar. Dia lebih gemarkan kuah putih. Katanya lembut….



Bahan-bahannya:
10 biji pisang awak – dipotong ikut suka (Kak Noor potong serong)
1 senduk sagu (anggaran) – direndam dalam air sehingga kembang dan ditoskan.
2 senduk gula putih atau boleh campur 1 gula putih dan 1 gula perang
(Kalau tak manis boleh tambah lagi, bergantung kepada citarasa masing-masing)
2 cawan pati santan kelapa sawit Khalis dicampur dengan 2 cawan air (nisbah 2:2)
Secubit garam
1 helai daun pandan



Penyediaannya:
Masukkan gula dan air dalam periuk dan masak sehingga gula larut.
Selepas itu masukkan pisang dan masak seketika bersama air gula tadi.
Tuangkan santan dan kacau. Pada masa yang sama masukkan daun pandan, sagu dan garam. Biarkan ia mendidih, kemudian angkat.
Sedia dihidangkan.



Nota:  Senduk yang Kak Noor gunakan untuk sukatan ialah senduk nasi.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : Serawa Pisang

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking