Donderdag 11 April 2013

SAWI RAJA GORENG SOS TIRAM



Tak ramai orang kenal sayur ni kan?  Kebiasaannya kalau kita masak sayur, hanya terlintas di fikiran kita sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, kobis, dan kailan yang telah kita kenali sejak dahulu lagi. Tetapi sayur ini? Menjadi teka teki akan namanya.  Kak Noor sendiri pun tak tahu nama sayur ini, pakai beli sahaja disebabkan teruja dengan kesegaran dan kehijauannya.  Beli sayur ni kat NSK Selayang dan ramai orang Cina yang membelinya. So.. hari tu sempat Kak Noor tanya seorang perempuan Cina, sedap x sayur ni dan macam mana masak? Katanya sedap dan dengan murah hatinya dia berkongsi cara-cara untuk memasak sayur ini. Tapi... Kak Noor tak tanya pulak nama sayur ini kepadanya.

Memandangkan ketidaktahuan nama sayuran ini, maka ter`pending'lah N3 untuk resepinya.  Kak Noor akses internet untuk mencari nama bagi sayur ini.  Puas jugalah mencari... sehingga terpaksa Kak Noor letakkan dalam FB gambar sayur ini bertanyakan kepada rakan-rakan FB.  Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakan-rakan FB yang memberi pelbagai nama, akhirnya membawa Kak Noor kepada pertemuan nama sayur ini dalam blog Maklong.  Nama sayur ini ialah SAWI RAJA.  Tak tahu pula namanya dalam Bahasa Cina.  Nanti bila pergi NSK, akan Kak Noor cuba tanyakan kepada perempuan Cina namanya.
  

Masak sayur ini memang ringkas dan mudah. Tak sampai 10 minit dah siap untuk dimakan. Makan semasa panas-panas sejurus selepas digoreng. Jangan simpan sampai sejuk. Goreng sayur ini mesti guna api yang besar supaya sayur tidak layu dan cepat masak  Lebih sedap dimakan sekiranya ada sambal belacan dan ikan goreng.  Walaupun ringkas, boleh tambah nasi oooi....

Bahan-bahannya:
1 ikat sawi raja  - kalau beli kat NSK Selayang,  cuma RM2.00 satu ikat
3 ekor sotong - dipotong bulat
Segenggam udang kering - ditumbuk kasar
1 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
3 ulas bawang putih diracik  halus
1 biji cili merah - dihiris
3 sudu sos tiram
Garam, gula dan serbuk perasa (jika suka)
2 sudu besar minyak
             
Cara-caranya:
1.  Bersihkan sayur dan rendamkan ia sekejap di dalam bekas yang berisi air dan dicampurkan dengan minyak masak supaya sayur kelihatan segar ketika dimasak dan supaya zatnya tidak hilang.
2. Rendam udang kering seketika sehingga kembang.  Kemudian dibersihkan dan ditoskan.  Ditumbuk kasar dan diketepikan.
2.  Panaskan kuali.  Tumis bawang putih, bawang merah,cili merah seketika, diikuti dengan udang kering.  Tumis sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
3.  Masukkan sotong dan gaul sebati.  Biarkan sotong mereneh di dalam kuali.  Ketika ini air sotong akan keluar.  Masak sehingga sotong masak.
4.  Masukkan sos tiram dan sedikit air.  Perasakan dengan gula, garam, dan serbuk perasa.  Biarkan seketika di atas dapur.
5.  Akhirnya sekali masukkan sayur dan gaul rata.  Besarkan api.  Jangan masak terlalu lama sayur, ditakuti layu. Bila sayur telah sebati dengan sos tiram, bolehlah diangkat dan dihidangkan panas-panas dengan nasi panas, ikan goreng, dan sambal belacan.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : SAWI RAJA GORENG SOS TIRAM

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking