Donderdag 18 April 2013

SUP TUMIS BAYAM DAN IKAN BILIS GORENG CAMPUR LOBAK MASIN

Memasaknya ini sebenarnya ikut mood.  Kalau mood kita elok dan kita sihat, sudah tentu kita ingin menyediakan sesuatu masakan yang istimewa untuk keluarga, ataupun mencuba sesuatu resepi yang baharu. Tetapi kalau kesihatan kita tidak mengizinkan, tetapi kita ingin juga menyediakan hidangan untuk keluarga dengan air tangan kita sendiri, sudah tentu kita akan memasak sesuatu yang mudah dan cepat, dan mengelak daripada duduk di dapur lama-lama. 




So hari ini memandangkan Kak Noor tak berapa sihat, maka Kak Noor hanya dapat menyediakan sup tumis bayam dan ikan bilis goreng campur lobak masin sahaja.  Walaupun masakan ini nampak ringkas, tetapi sekali sekala ia sebagai sebagai pembuka selera. 

Bila masak kedua-dua lauk ini, teringat Kak Noor semasa zaman kanak-kanak di kampung.  Kalau orang yang pernah dibesarkan di kampung, masakan ini telah menjadi lumrah bagi mereka.  Kalau bukan ikan bilis, ikan goreng gelama masam menjadi hidangan.  Ditambah pula dengan sambal belacan dan ulam-ulaman. Dimakan pula dengan nasi panas-panas.  Duduk bersila (bagi lelaki), dan duduk bersimpuh (bagi perempuan) di atas pangkin, dihidangkan dengan lauk-pauk ini dan dimakan bersama keluarga.  Berselera makan sehingga nasi satu periuk habis pun dah tak sedar.   


SUP TUMIS BAYAM



Bahan-bahannya:
*1 ikat sayur bayam
1 biji bawang kecil dihiris nipis
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
Sedikit ikan bilis sebagai perencah
Garam dan serbuk perasa (jika suka)
Serbuk lada hitam
Air secukupnya untuk sup
1 sudu besar minyak

* Bayam dipotong, diambil daunnya dan batang muda sahaja.  Rendam di dalam air yang dicampur dengan sedikit garam selama 15 minit.  Kemudian dibersihkan sehingga pasir dan kekotoran yang lain hilang.

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang kecil, bawang putih, dan cili merah.  Kacau seketika kemudian masukkan ikan bilis.  Tumis sehingga ikan bilis sedikit garing.
2.  Masukkan air secukupnya untuk sup.  Perasakan dengan garam, serbuk perasa, dan serbuk lada hitam.  Masak sehingga kuah mendidih.
3.  Akhir sekali masukkan bayam.  Kacau rata dan kaup balikkan sehingga bayam terendam di dalam sup.  Biarkan sup mendidih, kemudian bolehlah ditutup api.  Mudahkan!


IKAN BILIS GORENG CAMPUR LOBAK MASIN

Bahan-bahannya:
100 gram ikan bilis (cari ikan bilis yang bila digoreng, testurnya garing; RM6.00 per 100 gram)
Sedikit lobak masin - dipotong dadu
1 biji telur ayam
1 labu bawang besar - dipotong bulat
2 biji cili hijau - dihiris nipis
Sedikit gula
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak. Goreng ikan bilis sehingga garing.  Ketepikan.
2.  Gunakan minyak yang sama dan goreng lobak masin sehingga masak dan garing.  Ketepikan.
3.  Gunakan minyak yang sama sebanyak 1 sudu kecil.  Tumis bawang besar sehingga kekuningan.
4.  Kemudian masukkan ikan bilis  dan lobak masin yang telah digoreng diikuti dengan cili hijau.  Perasakan dengan gula.  Kacau dan kaup balikkan sehingga sebati. 
5.  Pecahkan sebiji telur di tepi kuali dan kacau sehingga telur hancur.  Kemudian kaup balikkan dengan ikan bilis dan lobak masin tadi.
6.  Bila telah sebati, bolehlah ditutupkan api.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : SUP TUMIS BAYAM DAN IKAN BILIS GORENG CAMPUR LOBAK MASIN

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking