Dinsdag 31 Desember 2013

Ikan Talapia Masak Stim (Ala Thai)

Semalam anak lelaki Kak Noor yang berumur 13 tahun tu bawa balik ikan talapia yang dipancingnya di sungai berdekatan rumah.  Inilah antara aktivitinya saban hari bersama kawan-kawan dalam musim cuti sekolah selain `mengemaskinikan' basikalnya . Rasanya habis ikan talapia di sungai tu kerana setiap hari ada sahaja hasil tangkapannya.  Kebiasaannya Kak Noor tak kasi dia bawa balik rumah sebab Kak Noor tidak menggemari ikan talapia ini (tapi anak-anak Kak Noor suke...).  Kalau dah banyak sangat, Kak Noor suruh dia beri sahaja kepada emak kawan-kawannya.  Apa lagi kalau fikir bab untuk menyiang ikan talapia ini, memang tak ambil port le... Yang jadi mangsanya hubby Kak Noor.  Dialah tukang menyiang ikan ini.

Ikan talapia ini kebiasaannya orang  goreng begitu sahaja, masak sambal, tiga rasa atau sweet sour.  Tetapi kali ini Kak Noor nak cuba masak stim pulak.  Kak Noor terjumpa resepi ini semasa menggodek laman web untuk mencari resepi yang berkaitan dengan ikan talapia.  Tetapi resepi yang dimuatkan di sini telah Kak Noor olahkan mengikut citarasa Kak Noor sendiri.  Banyak juga Kak Noor masak sebab nak jamu kawan-kawan anak Kak Noor makan sama. Kalau masak untuk keluarga, 3 - 4 ekor telah memadai.

Selamat mencuba....



Bahan-bahannya:
1 kg. ikan talapia
1 kuntum bunga kantan - dihiris halus
1 biji bawang besar - dipotong bulat
3 batang daun sup - dihiris
3 - 4 helai daun limau purut
2 biji lemon - 1 biji diperah jusnya dan 1 biji lagi dihiris bulat
1 biji limau nipis - diperah jusnya
Asam boi putih 5 biji
2 batang serai -  dihiris
Halia muda - dihiris
Sedikit garam
Sedikit bawang goreng untuk ditabur atas ikan setelah masak

Bahan-bahan untuk perapan ikan:
2 sudu besar pes tom yam
2 sudu besar sos nanas
3 - 5 ulas bawang putih yang dikisar
1 sudu besar kicap masin
Sedikit garam
(Lumurkan ikan dengan bahan-bahan di atas dan perap sekurang-kurangnya 30 minit)

Penyediaannya:
  • Letakkan ikan yang telah diperap di dalam bekas periuk kukus.
  • Taburkan hirisan bunga kantan, serai, daun sup, bawang besar, halia muda dan asam boi serta daun limau purut di atas ikan.
  • Perah jus lemon dan jus limau kasturi ke atas ikan.
  • Kukus sehingga masak, anggaran 20 minit.
  • Sedia untuk dihidangkan dan dimakan dengan nasi panas.

Petua/Tips:
Bagi menghilangkan hanyir ikan talapia, setelah ikan dibersihkan, perapkan dengan limau nipis, limau kasturi, dan garam lebih kurang 20 minit.  Selepas itu dibersihkan.
Kemudian direndamkan ikan di dalam air beras sekurang-kurangnya 15 minit.  Lebih masa pun tak mengapa (Air beras hasil basuhan yang pertama; yang masih berwarna putih susu).
Dibersihkan.  Kalau hendak digoreng, lumurkan dengan serbuk kunyit dan garam.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Ikan Talapia Masak Stim (Ala Thai)

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking