Dinsdag 31 Desember 2013

Rendang Tok

Pejam celik, pejam celik, tak terasa minggu hadapan sekolah akan dibuka.   Bagi ibubapa yang belum lagi membeli kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka, cuti tiga hari ini digunakan semaksimum yang boleh membawa anak-anak ke gedung membeli belah untuk membeli barang-barang keperluan persekolahan.  Kak Noor telah membeli keperluan sekolah anak-anak sejak awal bulan Disember lagi.  Tak mahu kelam kabut di saat akhir.  Maklumlah kita ni bekerja, mesti bijak menggunakan masa; untuk kerjaya dan juga keluarga.

Itu cerita anak-anak kita yang  yang akan mula bersekolah minggu hadapan.  Apa pula cerita mengenai resepi yang akan Kak Noor paparkan pada tengah hari ini.  Resepi ini adalah kegemaran hubby Kak Noor sejak dahulu lagi iaitu Rendang Tok.    Asal resepi ini menggunakan daging, tetapi Kak Noor gantikan dengan ayam sebab keluarga  Kak Noor lebih gemarkan ayam. 

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam organik - dipotong 12 
2 cawan santan pekat
½ cawan kerisik
3 sudu besar gula merah
3 keping asam keping
Daun kunyit (koyakkan)
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dimesin kering:
2 sudu besar ketumbar
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
1 sudu besar lada hitam
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih

Bahan-bahan dimesin basah:
25 biji cili kering
20 biji bawang merah
5 cm halia
5 batang serai
3 cm lengkuas
Air secukupnya

Penyediaannya:
Masukkan semua bahan kecuali daun kunyit, kerisik dan asam keping di dalam kuali.
Masakkan dengan api perlahan sehingga pekat dan naik minyak.
Bila telah pekat,masukkan daun kunyit, asam keping dan kerisik.  Kacau rata.
Masakkan lagi sehingga naik minyak dan cukup pekat.  (Sebaiknya keringkan sikit rendang ini).
Hidangkan.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : Rendang Tok

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking