Donderdag 26 Desember 2013

Sambal Sotong Kembang Berkacang

Dalam entri terdahulu Kak Noor telah muatkan resepi sambal sotong kering.  Kali ini Kak Noor muatkan pula resepi sambal sotong kembang berkacang. Sukatan kacang yang digunakan untuk masakan ini terpulanglah kepada citarasa masing-masing.  Ada orang suka kacang yang banyak, dan ada pula yang suka sedikit.  Disebabkan inilah Kak Noor tidak menetapkan kuantiti sukatan yang perlu digunakan.

Kelainan resepi sambal sotong kembang berkacang ini ialah Kak Noor gunakan sos nanas untuk menggantikan asam jawa.  Pertama kali menggunakan sos nanas dalam masakan ini, tidak menjejaskan keenakan resepi sambal sotong kembang berkacang ini. Sambal sotong kembang berkacang ini Kak Noor gandingkan dengan sup sayur soun, dihidangkan dengan nasi panas.





Bahan-bahannya:
1 kg  sotong kembang
1 biji tomato saiz sederhana  - dipotong kiub
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos nanas - (Kak Noor guna jenama Muslim Besar Salsa Sauce)
2 sudu besar sos tiram
2 biji bawang besar - dihiris bulat
4 sudu besar kacang tanah yang telah dikisar (Kak Noor beli kacang tanah yang telah siap dikisar di kedai)
1 cawan air
Minyak masak secukupnya untuk menumis
3 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
Serbuk perasa (opsyen)
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk cili kering yang telah dikisar
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci belacan

Penyediaannya:
  1. Sotong kembang dipotong anggaran 4 cm dan direbus sekejap untuk buang air kapur. Kemudian ditoskan dan diketepikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali.  Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan tumiskan sehingga terbit minyak.  
  3. Kemudian masukkan buah tomato yang telah dipotong kiub, sos cili, sos nanas, dan sos tiram. Kacau rata dan masak sehingga kuah agak pekat.
  4. Masukkan gula merah, gula putih, garam dan serbuk perasa.  Biarkan mendidih sekejap.
  5. Kemudian masukkan sotong dan masak hingga kuah pekat sedikit pekat dan melekat pada sotong. Akhir sekali masukkan bawang besar dan kacang.  Kacau rata dan siap untuk dihidangkan.


Sup sayur soun
Tips:
  • Senduk yang Kak Noor gunakan untuk sukatan ialah senduk nasi.
  • Pastikan cili kering kisar senantiasa ada di dalam peti sejuk.  Caranya ialah beli 1 kg. cili kering.  Pilih cili kering kerinting kerana cili kering ini tidak pedas jika dibandingkan dengan cili kering berkilat.  Gunting atau potong cili kering dalam potongan yang kecil, kemudian direbus di dalam periuk.  Teknik rebusan digunakan supaya cili kering lembut dan mudah dikisar nanti. Apabila cili kering telah lembut, angkat dan ketepikan seketika.  Kemudian toskan air rebusan.  Alirkan cili kering di bawah air paip dan sambil itu diramas-ramaskan supaya biji cili keluar daripada cili kering.  Basuh dan asingkan cili kering daripada biji.  Ulangi teknik ini sehingga tiada lagi biji cili.  Kemudian cili kering ditoskan dan sedia untuk dikisar. Masukkan cili kering yang telah dikisar di dalam bekas dan simpan di dalam peti sejuk.  Sedia untuk digunakan pada bila-bila masa sahaja.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Sambal Sotong Kembang Berkacang

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking