Dinsdag 19 Maart 2013

RENDANG PEDAS KERANG

Resepi yang ingin Kak Noor kongsikan pada hari ini ialah Rendang Pedas Kerang.  Telah lama Kak Noor menyimpan hasrat untuk berkongsi resepi favourite ini dengan rakan-rakan semua.   Kebiasaannya orang menggunakan bahan seperti daging dan ayam untuk membuat rendang dan jarang sekali mereka menggunakan kerang. 





Alkisahnya resepi ini Kak Noor perolehi daripada sebuah buku majalah lebih kurang 23 tahun yang lalu semasa Kak Noor baru mendirikan rumah tangga. Dah tak ingat majalah apa.  Maklumlah masa tu tak jadi chef kat dapur lagi.  Untuk menyediakan rendang seperti ini pada ketika itu merupakan suatu cabaran yang besar. Maka majalahlah yang menjadi tempat rujukan agar masakan yang disajikan itu mendapat pujian daripada suami tersayang. Dari A sampai Z Kak Noor follow resepi di dalam majalah tersebut.  Mungkin disebabkan itulah resepi ini masih terpahat kukuh di dalam ingatan Kak Noor, walaupun tanpa nota resepi yang hilang entah ke mana.

Bahan-bahan yang membangkitkan citarasa rendang pedas kerang ini ialah halia muda.  Jarang sekali orang memasak rendang dengan meletakkan hirisan halia muda dan kemudian ditumis layu terlebih dahulu sebelum bahan-bahan lain dimasukkan. Seperkara lagi yang kita perlu ambil kira ialah saiz isi kerang. Kalau boleh biarlah isi kerang itu besar; maka terasalah sedap apabila kita memakannya.  Tidak dapat dinafikan memang agak sukar untuk mendapat kerang yang bersaiz besar sekarang ini.  Tetapi Kak Noor bernasib baik sebab di pasar malam tempat Kak Noor tinggal ada dijual isi kerang rebus yang segar.  Tetapi jualannya agak limited.  Perlu order dulu minggu ini, minggu hadapan baru dapat. 



Kak Noor bukan nak puji masakan sendiri tetapi Insya Allah, kalau masak ikut resepi yang Kak Noor berikan di bawah ini, garenti sedap.  Aromanya pun... sudah cukup menyelerakan.

Bahan-bahannya:
1 kg. isi kerang rebus
500 gram santan pekat
350 gram kerisik
200 gram halia muda – dihiris
1 batang serai – dititik/diketuk
2 – 3 keping asam gelugor
2 – 3 helai daun limau purut – disiat
6 helai daun kunyit – dihiris halus
5 helai daun limau purut – dihiris halus
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya

Bahan Kisar Halus:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
3 – 4 ruas kunyit hidup
2 inci halia tua
2 inci lengkuas
3 batang serai
3 senduk cili kering kisar
4 – 5 biji cili padi merah
Air secukup untuk mengisar

(Kiri - isi kerang rebus)  dan  (Kanan - bahan-bahan untuk dikisar halus)
Penyediaannya:
  • Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan halia muda yang telah dihiris dan goreng sehingga kekuningan dan layu.
  • Selepas itu masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan masak sehingga garing dan terbit minyak.
  • Tuangkan santan. Masukkan daun limau purut yang disiat dan serai yang dititik dan asam gelugor. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
  • Setelah mendidih, masukkan isi kerang. Setelah kuah rendang agak kering, masukkan kerisik dan kacau sehingga sebati.
  • Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit dan hirisan daun limau purut. Kacau lagi dan biarkan ia mereneh seketika di atas dapur.
  • Bila telah menepati citarasa dan setelah minyak timbul dipermukaan kuah rendang, bolehlah ditutup api. Sedap dimakan dengan nasi panas, dan dicicah dengan ketupat pulut, lemang, dan ketupat nasi.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : RENDANG PEDAS KERANG

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking