Sondag 30 Junie 2013

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS KENTANG



Semua orang suka makan sambal tumis ikan bilis kan!  Kebiasaannya sambal tumis ikan bilis ini sinonim dengan nasi lemak.  Bila masak nasi lemak mesti akan sambal ikan bilis. Tetapi boleh juga dihidang dengan nasi putih panas-panas.

Tetapi kali ini Kak Noor mempelbagaikan sambal tumis ikan bilis ini dengan meletakkann beberapa potongan ubi kentang. Anak-anak Kak Noor memang suka masakan seperti ini.  Selain dapat makan ikan bilis, kita juga dapat makan ubi kentang sambal.  Dalam erti kata lain masakan dua dalam satu.  Dalam masakan sambal tumis ikan bilis ini Kak Noor letakkan daun pandan untuk mewangikannya.  Memang semerbak bau sambal tumis ini semasa di atas dapur.

Resepi sambal tumis ikan bilis kentang ini lebih kurang sama sahaja dengan resepi sambal tumis ikan bilis yang pernah Kak Noor masak. Cuma ada beberapa bahan tambahan sahaja.  Jom kita tengok bahan-bahannya.


Bahan-bahannya:
100 gram ikan bilis yang telah siap dikopek - Rendam seketika (lebih kurang 5 minit dan ditoskan)
3 biji ubi kentang - dipotong kecil
2 keping asam gelugor
3 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
Garam secukup rasa
Serbuk perasa - jika suka
1/2 cawan pati santan
1 cawan air
2 helai daun pandan disimpul
1 biji bawang besar - dipotong bulat
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar:
4 senduk nasi cili kering yang telah dikisar
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci belacan

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak.  Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan masak sehingga naik bau dan terbit minyak.
2. Masukkan 1 cawan air dan kacau rata.  Kemudian masukkan gula perang, gula putih, garam, serbuk perasa, asam gelugor,  dan daun pandan.  Masak sehingga kuah mendidih.
3.  Selepas kuah mendidih, bolehlah dimasukkan santan diikuti dengan ikan bilis dan ubi kentang. Kacau rata dan  masak sehingga ubi kentang empuk.
4. Selepas ubi kentang empuk, masukkan potongan bawang besar.  Kacau, kemudian bolehlah ditutup api.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : SAMBAL TUMIS IKAN BILIS KENTANG

0 opmerkings:

Plaas 'n opmerking